Sabtu, 10 November 2012

Ahad, 4 November 2012

Karangan UPSR

Karangan format berita.

PAHANG, 16 NOVEMBER 2009 - Kampung Langgar telah dilanda banjir. Tiga hari sebelum kejadian, hujan turun mencurah-curah di kebanyakan kawasan di daerah Pekan. Penduduk kampung tersebut tidak menduga kampung mereka akan dilanda banjir kerana jarang sekali banjir berlaku di kampung mereka. Oleh itu, ramai yang tidak bersedia bagi menghadapi keadaan tersebut.

Setelah air naik ke paras yang berbahaya, pihak penyelamat mengarahkan penduduk kampung mengemaskan barang-barang penting dan berharga untuk berpindah ke tempat yang selamat. Kanak-kanak pula dilarang bermain air banjir yang hampir mencecah lantai di kebanyakan rumah penduduk kampung.


Banjir berpunca apabila air Sungai Pahang telah melimpah lalu menenggelami beberapa tempat di kampung tersebut. Penduduk kampung telah dipindahkan oleh pasukan penyelamat dengan motorbot dan ditempatkan di Dewan Serbaguna Datuk Shahbandar sehingga banjir surut.

Penduduk kampung dijangka akan mengalami kerugian besar kerana banyak tanaman dan haiwan ternakan mereka mati. Namun begitu, penduduk kampung bersyukur kerana setakat ini tiada kes kehilangan nyawa dilaporkan.

Ketua kampung, Encik Anuar bin Abu Hassan memberitahu bahawa pihak kerajaan negeri akan menyumbangkan sedikit bantuan kewangan bagi meringankan beban penduduk kampung yang terlibat. Selain itu, penduduk kampung juga dinasihatkan supaya sentiasa bersedia dan berwaspada bagi menghadapi situasi banjir.





Jumaat, 2 November 2012

Karangan UPSR

Karangan jenis cerita

Pada cuti sekolah yang lalu kamu telah pulang ke kampung. Tidak lama kemudian kampung kamu dilanda banjir. Ceritakan pengalaman kamu itu.


Pada cuti sekolah yang lalu, saya pulang ke kampung kelahiran saya di Kampung Merapoh Kuala Lipis, Pahang. Sejak tiba di kampung, hujan lebat turun tidak berhenti-henti menyebabkan kami sekeluarga berasa bimbang. Oleh sebab itu. keluarga saya mula mengemaskan barang-barang yang penting dan berharga sebagai persediaan jika terpaksa berpindah. 

Akhirnya, kami dipindahkan oleh pasukan penyelamat dengan menggunakan sampan dan bot. Kami bersyukur kerana semua penduduk kampung berjaya dipindahkan ke pusat pemindahan dengan selamat walaupun berasa agak sedih melihat seluruh kampung kami telah hampir ditenggelami air. Kami hanya mampu berdoa agar air bah akan surut dengan segera dan keadaan kembali pulih seperti biasa.

Semasa berada di pusat pemindahan, kami dibekalkan dengan pelbagai barang keperluan oleh pihak kerajaan seperti makanan, air, ubat-ubatan dan pakaian. Kaum wanita pula bergotong-royong untuk menyediakan makanan. Saya berasa kurang selesa dan bosan berada di situ kerana terpaksa tidur di tempat yang terbuka, berkongsi bilik air dan sebagainya. Mujurlah saya dapat bermain dengan beberapa orang kawan sebaya.

Seminggu kemudian, banjir di kampung kami kembali pulih. Sekembali ke kampung, kami berasa sungguh sedih apabila melihat keadaan rumah yang begitu kotor dengan sampah dan lumpur. Banyak harta benda seperti kereta, binatang ternakan dan tanam-tanaman yang musnah.

Banjir yang dahsyat ini meninggalkan kenangan pahit buat semua penduduk kampung. Kami berdoa agar kejadian sebegini tidak akan berlaku lagi.



Isnin, 29 Oktober 2012

Contoh karangan UPSR


Tajuk : Banjir di Kampung Saya

Pada suatu hari,saya terdengar bunyi bising di luar rumah saya. Saya cuba menjenguk di luar rumah. Saya ternampak kejadian yang teruk berlaku di kampung saya. Kampung saya sudah mengalami banjir yang amat dasyat.

Saya pergi ke bilik ibu saya. Saya kejutkan ibu bapa saya. Mereka pun tersedar dari tidur. Kami sekeluarga mengemas barang barang keperluan kami. Air banjir semakin deras dan semakin menaik.

Kami sekeluarga menyelamatkan diri dengan memanjat bumbung rumah kami. Banyak ekor haiwan yang hanyut akibat banjir yang teruk ini. Ketua kampung menelefon pihak penyelamat supaya datang ke kampung. Pada pukul 2:00 pagi pihak penyelamat pun sampai.

Pihak penyalamat telah menyalamatkan kami sekeluarga. Kami dihantar ke balai raya yang tidak jauh juga di kampung kami. Kami berharap pihak kerajaan mengambil tindakan supaya kampung kami tidak mengalami banjir yang seteruk ini lagi. 

oleh : Stephen Michael Hughes



Jumaat, 26 Oktober 2012

Banjir


Saya memilih unit Sentiasa Berhemat Kita Selamat, bagi melahirkan rasa kesedaran akan peri pentingnya menjaga keselamatan dan peka kepada keadaan sekeliling. Ia juga akan Memberi pendedahan kepada murid berkaitan bencana alam,  cara mengatasi dan tindakan yang perlu diambil jika berlaku bencana seperti banjir.





Tema Banjir penting memandangkan keadaan cuaca ketika ini yang tidak menentu.  Kejadian banjir kilat sering berlaku tanpa diduga.  Bencana banjir juga merupakan bencana alam yang sinonim dengan negara kita terutamanya pada musim tengkujuh.


Diharapkan murid-murid sentiasa peka dengan cuaca semasa dan tidak menganggap banjir sebagai suatu pesta. Apabila kita sentiasa berhemat, maka kita akan selamat.